Tiada kerjasama antara PH-PSM
PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menyuarakan kekecewaan selepas Pakatan Harapan (PH) menolak permintaan minimum parti berkenaan untuk kerjasama dalam pilihan raya kali ini dengan tidak memberi laluan untuk bertanding mana-mana kerusi.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, berkata penolakan untuk bekerjasama itu dimaklumkan melalui surat rasmi daripada PH semalam.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PSM, berkata dengan tiada satu kerusi diberikan, adalah jelas bahawa PH tidak berminat lagi dengan pembentukan pakatan pilihan raya dengan parti berkenaan.
“Kami kecewa kerana perkara ini dimaklumkan kepada kami begitu lewat walaupun kenyataan Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) pada Jumaat lalu, bahawa terdapat tiga kerusi diperuntukkan kepada PSM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“PSM meminta pembentukan pakatan pilihan raya dengan PH kerana ia kehendak ahli dan penyokong kami serta masyarakat bahawa PSM tidak patut bertanding sendiri sebaliknya menyertai sebuah gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dalam dua mesyuarat yang diadakan bersama PH sebelum ini, PSM mengemukakan permintaan yang sangat minimum untuk kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kami meminta supaya Pengerusi kami, Dr Jeyakumar Devaraj, diberi laluan untuk bertanding di Sungai Siput kerana beliau merupakan calon yang paling sesuai dan terbaik untuk menang di Sungai Siput.
“PSM juga memberikan dua pilihan kerusi Parlimen yang tidak disandang oleh PH, sekiranya tidak diberi laluan di kerusi Sungai Siput,” katanya.
Beliau berkata, PSM turut meminta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang Barisan Nasional (BN) serta menyatakan boleh menerima tawaran mana-mana kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.
“Pasukan rundingan PH berkata isu itu hanya boleh diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, yang akhirnya memaklumkan kami mengenai keputusan yang mengecewakan ini,” katanya.
Menurutnya, PSM kecewa kerana tiadanya usaha yang serius daripada PH untuk mempercepatkan proses itu sebelum ini atau mencari jalan walaupun banyak usaha daripada pihak PSM.
“Kami juga sedar bahawa ramai orang yang mengharapkan kami bekerjasama dengan PH akan berasa kecewa.
“Kami hanya ingin memberitahu ahli-ahli dan penyokong-penyokong kami bahawa kami sudah cuba. Pakatan pilihan raya ini telah berakhir tetapi bukannya perjuangan kita,”
Beliau berkata, PSM akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan tindakan yang seterusnya bagi menghadapi pilihan raya kali ini. – Malaysiapost