Amanah Pahang tampil muka baharu, 3 bertanding semula
Ben Ibrahim
AMANAH Pahang mempertaruhkan 80 peratus muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November ini.
Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamad, berkata hanya sebilangan kecil daripada calon yang bertanding adalah penyandang kerusi sebelum ini.
Menurutnya, pemilihan calon adalah terdiri daripada muka baharu dan lama daripada pelbagai latar belakang termasuk dua calon wanita bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau pilihan raya yang lalu, kita hanya bertanding 11 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen dan kali ini berlaku pertambahan lima kerusi bagi kerusi DUN manakala tiga kerusi Parlimen.
“Jadi, daripada 16 kerusi DUN dipertandingkan, kita menampilkan 13 muka baharu dan tiga muka lama manakala empat calon kerusi Parlimen juga adalah calon baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pengumuman dan majlis serahan surat lantikan calon parti Amanah Pahang di sebuah restoran, hari ini.
Zulkifli menjelaskan dua calon wanita ditampilkan untuk bertanding di DUN Guai, Noraini Abdul Ghani dan DUN Tanjung Lumpur mempertaruhkan Sabrina Md Yusof yang pernah bertanding pilihan raya yang lalu.
Tambahnya, calon termuda yang turut disenarai sebagai calon adalah Pengarah Komunikasi dan Media Baharu negeri, Ahmed Wafiuddin Shamsuri, 27 dan Ahli Jawatan kuasa pemimpin kawasan Kuala Krau, Ahmad Arif MD Daud.
Beliau yang merupakan calon kerusi DUN Beserah menjelaskan kesemua calon yang dipilih adalah individu yang boleh memberi kemenangan kepada parti Pakatan Harapan.
“Mereka ini boleh menjadi saingan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) dan kita optimis untuk menang seberapa banyak kerusi sekali gus boleh membentuk kerajaan,” katanya.
Empat calon parlimen Amanah telah diumumkan Ahad lalu, iaitu Ahmad Azam Mohamad Salleh (Paya Besar); Ahmad Shuhor Awang (Maran); Juhari Osman (Kuala Krau) dan Mohd Hasbie Muda (Termeloh). – Malaysiapost