BN belum putus calon di enam kerusi Parlimen, rundingan masih berjalan

BN belum putus calon di enam kerusi Parlimen, rundingan masih berjalan

BARISAN Nasional (BN) belum memutuskan calon daripada gabungan itu untuk bertanding di enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Antara calon kerusi Parlimen yang belum diumumkan termasuk Tanjong Karang, Jempol, Kuala Pilah, Bandar Tun Razak, Tumpat serta Kuala Nerus.

Kenam-enam kerusi Parlimen berkenaan tidak diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis, malam ini.

Menurut sumber, pemimpin tertinggi BN sedang meneliti kesesuaian calon untuk diletakkan di kerusi berkenaan kerana ada antaranya mendapat bantahan ahli akar umbi.

Difahamkan, bagi kerusi Kuala Nerus desas-desus bertiup kencang BN sedang berbincang untuk memberi kerusi berkenaan kepada penyandang Parlimen itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Majlis Syura PAS dilihat begitu agresif menyokong BN sejak akhir-akhir ini.

“Sementara, bagi kerusi Tanjung Karang pula rundingan sedang berjalan dengan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga penyandang kerusi tersebut,” katanya kepada Malaysiapost.

Sebelum ini, Noh menjadi antara ‘nama besar’ yang dilaporkan bakal digugurkan kerana didakwa tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid.

Sementara, bagi Parlimen Jempol, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan bantahan ahli akar umbi yang mahu penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dikekalkan sebagai calon.

Untuk Bandar Tun Razak, BN dilaporkan sedang meneliti kesuaian calon yang dicadangkan memandangkan ia bakal berdepan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Sementara di Tumpat pula, BN dilaporkan sedang berunding termasuk desas-desus bakal meletakkan calon yang juga pemimpin PAS di kerusi itu.

Difahamkan, BN akan memutuskan calon di enam kerusi itu selewat-lewatnya sehari sebelum penamaan calon. – Malaysiapost

Komen