BN dijangka gugurkan 10 penyandang kerusi Parlimen
BARISAN Nasional (BN) dijangka menggugurkan sekurang-kurangnya 10 penyandang kerusi Parlimen termasuk nama besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Spekulasi yang bertiup kencang ketika ini kesemua calon pro kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri digugurkan BN.
Antara yang digugurkan ialah penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid dan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Turutdigugurkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique; penyandang Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; penyandang Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Abdul Muttalib; Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Untuk rekod Shahidan, Annuar, Zahidi dan Tajuddin antara yang lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid memimpin Umno.
Malam tadi Shahidan memaklumkan bilik gerakan BN di sekitar Arau ditutup dipercayai kerana namanya tidak menjadi calon BN bagi PRU15.
BN malam ini akan mengumumkan barisan calon yang bakal bertanding dalam PRU15 nanti.
Terdahulu hari ini Annuar memberi bayangan akan bertanding menggunakan tiket parti lain jika tidak dinamakan sebagai calon BN.
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu bagaimanapun berkata beliau hanya memikirkan mengenainya atau tindakan lanjut selepas disahkan tidak dicalonkan oleh BN.
“Katalah saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak boleh mengamuk dan marah. Namun perjalanan politik saya masa itu saya akan duduk serta fikirkan kalau buat sekian-sekian apa jadi. Saya akan fikir dengan jiwa yang tenang tanpa terburu-buru,” kata Annuar.- Malaysiapost