Calon ‘heavyweight’ Umno dijangka buat ‘come back’ di Kedah

Calon ‘heavyweight’ Umno dijangka buat ‘come back’ di Kedah

BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dijangka bakal membuat penampilan semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini dengan menjadi calon bagi Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber Umno, nama bekas Ahli Parlimen Baling itu tersenarai sebagai calon bagi salah satu kerusi di Parlimen Kedah yang telah diluluskan oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau akan diletakkan di kerusi Parlimen Kuala Kedah sekali gus mengenepikan calon pilihan sebelum ini Dr Zaki Zamani Abd Rashid, yang begitu sinonim di kawasan berkenaan.

Dalam PRU-11, Mashitah mengalahkan calon Pas, iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib dengan majoriti 4,229 undi.

Selepas menang pilihan raya, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri dan kemudian menjadi Timbalan Menteri pada 2008 melalui lantikan Senator.

Penamaan Mashitah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Baling, bagaimanapun dikatakan mendapat protes secara senyap oleh ahli akar umbi kawasan berkenaan.

Ia susulan, Dr Zaki Zamani yang merupakan pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, dilihat telah bergerak aktif sebaik diberikan mandat susulan Ketua Bahagiannya, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia.

Spekulasi berkenaan dikuatkan lagi dengan status yang dimuat naik oleh Dr Zaki Zamani di Facebook miliknya dengan kata-kata, “Kuala Kedah untuk orang Kuala Kedah, calon luar kami tak mau”.

Selain Mashitah, satu lagi nama besar yang akan kembali diketengahkan ialah Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri ini pernah memenangi PRU-13 mengalahkan calon Pas dan menjadi Ahli Parlimen Jerai selama sepenggal namun tewas pada PRU-14.

Nama Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Othman Aziz turut dilaporkan ada dalam senarai calon Parlimen BN Kedah dan akan menentang penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Othman pernah menang kerusi Parlimen Jerlun pada 2013, seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan I pada 2016-2018, manakala pada 2008 dan 2004, beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam.

Seorang lagi yang tersenarai adalah Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau dijangka dikekalkan di kerusi disandangnya, Padang Terap susulan prestasi cemerlang sama ada dalam pentadbiran kerajaan mahupun parti.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga adalah calon popular di kawasan beliau dan dijangka tidak berdepan saingan sengit seperti pada PRU-PRU lepas.

Penyandang Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim pula turut dijangka akan kekal bertanding di kawasan sama.

Parlimen Langkawi, pula dijangka bakal menyaksikan muka baharu iaitu Datuk Armishah Siraj yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah.

Tiga calon wanita turut tersenarai iaitu Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob; Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Yusof serta Ketua Wanita Umno Bahagian Sik, Maizatul Akmam Othman yang bakal bertanding di kawasan masing-masing.

Muka-muka baharu yang dijangka dipertaruhkan ialah Datuk Muhar Hussain di kerusi Kulim/Bandar Baharu; Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); Datuk Hasmuni Hasan (Kubang Pasu); Noran Zamani Jamaludin (Pokok Sena) serta wakil MCA, Tan Chee Hiong (Alor Setar) selain wakil MIC, Datuk C Selvaraj (Padang Serai).

Spekulasi nama-nama calon ini hanya akan terjawab dalam majlis pengumuman calon BN oleh Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, malam ini. – Malaysiapost

Komen