DAP pergunakan orang Melayu jadi calon PRU15 – Abdul Hadi

DAP pergunakan orang Melayu jadi calon PRU15 – Abdul Hadi

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi mengingatkan orang Melayu agar tidak terpedaya dengan helah yang digunakan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Beliau berkata, helah DAP menggunakan orang Melayu adalah mirip strategi yang pernah digunakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura ketika menawan hati orang Melayu di kepulauan itu satu ketika dulu.

“Orang-orang Melayu perlu menyedari bahaya dan kelicikan DAP yang sengaja meletakkan calon-calon Melayu di kawasan majoriti Melayu bagi mengaburi pandangan dan menarik sokongan orang Melayu.

“Jadikan sejarah Singapura dahulu sebagai pengajaran apabila mereka menawan Singapura melalui Parti Tindakan Rakyat (PETIR / PAP) dengan menggunakan strategi yang sama, iaitu meletakkan calon-calon Melayu dan berperwatakan Melayu,” katanya dalam klip video di Facebook, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Abdul Hadi berkata, PAP yang dipimpin bekas Perdana Menteri Singapura Lim Kuan Yew bukan sahaja menggunakan orang Melayu, tetapi turut mengamalkan cara berpakaian dan bercakap seperti orang Melayu bagi memikat hati mereka.

“PAP melantik orang Melayu menjadi Presiden Singapura, boneka mereka dan mereka telah berjaya menguasai Singapura melalui taktik mereka.

“Lim Kuan Yew pada kempen pilihan raya berucap menggunakan Bahasa Melayu, yang akhirnya orang Melayu menyokong mereka tanpa sedar membuatkan Singapura lama kelamaan dikuasai PAP.

“Pada tahun 1963, Singapura menyertai Malaysia, namun Tunku Abdul Rahman menyedari bahayanya PAP telah membuat tindakan mengeluarkan PAP dari Malaysia.

“Namun perjuangan PAP diteruskan DAP yang ditubuhkan selepas itu. Jadi orang Melayu harus sedar bahaya perkara ini dengan tidak menyokong DAP,” katanya.

Pada PRU15 ini, DAP bakal mengetengahkan calon Melayu di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai populasi Melayu tinggi.

Sementara itu, Abdul Hadi meminta ahli PAS bersabar berhadapan pelbagai ujian menjelang PRU15 ini.

“Hari ini kita tidak lagi berhadapan dengan peperangan di medan jihad yang mengancam nyawa, tetapi peperangan secara demokrasi pilihan raya yang damai. Islam mengajar kita bahawa jalan perdamaian hendaklah didahulukan, maka demokrasi ialah jalan yang terbaik untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.

“Kepada ahli PAS, bersabarlah sama ada dalam keadaan susah mahupun senang. Bertugaslah dan berilah khidmat yang terbaik di mana sahaja kalian diletakkan, dan janganlah lari daripada perjuangan. Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada kita insyaAllah,” katanya. – Malaysiapost

Komen