Jangan jual, beli rumah PAKR

Jangan jual, beli rumah PAKR

Ben Ibrahim

TINDAKAN segelintir penyewa projek perumahan awam kos rendah (PAKR) milik kerajaan Pahang menjual unit kediaman mereka sangat dikesali.

Walaupun projek itu menggunapakai konsep sewa beli, terdapat laporan penyewa menjual kediaman mereka kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abdul Rahim Muda berkata pembeli atau orang ramai yang ditawarkan rumah PAKR dinasihatkan merujuk perkara itu melalui pejabat Setiausaha Kerajaan negeri sebelum membeli unit kediaman ditawarkan.

“Tujuan utama kerajaan Pahang menyediakan PAKR adalah untuk memastikan rakyat negeri ini yang berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman sendiri.

“Jadi, sebab itulah kadar sewa dikenakan juga paling minima, antara RM200 hingga RM300 sebulan menggunakan prinsip sewa beli.

“Selepas tempoh tertentu, antara 10 hingga 15 tahun, unit kediaman itu akan menjadi hak milik penyewa dan mereka bolehlah jual kalau nak jual,” katanya dalam sidang media di Kuantan.

Abdul Rahim berkata, nilai asal setiap unit kediaman PAKR dianggarkan antara RM35,000 hingga RM45,000 dan harga semasa kediaman itu boleh mencecah sehingga RM80,000.

Ditanya jika kerajaan Pahang bercadang mengambil tindakan terhadap penyewa yang menjual kediaman mereka, Abdul Rahim menjelaskan pihaknya tidak bercadang mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

“Kita tidak akan mengambil tindakan, itu bukanlah penyelesaian kerana niat utama kerajaan negeri adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri.

“Tapi kita menghantar notis peringatan kepada mereka dan pembeli supaya datang berjumpa kita untuk berbincang.

“Jika penyewa ada masalah nak bayar sewa, kita akan cadangkan mereka dapatkan bantuan (pembayaran sewa) melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya. – Malaysiapost

Photo from Wanfai Ismayatim

Komen