Jangan sabotaj jika tak jadi calon
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz, mengingatkan agar tidak berlaku sabotaj jika pihak tertentu dalam parti tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurutnya, semua anggota parti sebaliknya perlu memberi sokongan penuh kepada calon yang telah dipilih pucuk pimpinan parti dan mengutamakan kepentingan parti.
Beliau berharap semua pihak mendapat mesej yang jelas mengenai perkara itu memandangkan terlalu banyak kejadian ‘cah keting’ berlaku dalam kalangan mereka yang tidak dipilih menjadi calon pilihan raya.
“Nasihat saya kepada rakan-rakan yang tidak dipilih janganlah kecewa sebab ini adalah proses biasa dan di Kedah kita pula kita ada satu lagi pilihan raya selepas ini di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jadi sudah tentu pihak parti juga akan menilai sejauh mana komitmen sokongan bakal-bakal calon DUN ini kepada calon Parlimen yang akan bertanding pada 19 November nanti jadi kita hendak semua pihak utamakan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri perjumpaan bersama anggota Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pering, dekat Jerlun hari ini.
Othman berharap, pimpinan di semua bahagian perlu berjiwa besar dan berlapang dada serta anggota parti perlu berusaha memenangkan calon Umno dan BN.
Beliau yakin kepimpinan tertinggi parti sudah mengkaji dan berbincang dengan kepimpinan negeri serta bahagian untuk memilih individu yang bersesuaian diletakkan sebagai calon.
“Mengambil kira pelbagai aspek bukan hanya dari segi ketokohan seseorang bakal calon, tetapi yang penting calon juga mesti tidak ada masalah sama ada dari segi kebankrapan serta masalah hutang.
“Kita tidak mahu apabila diumumkan sebagai calon BN, tiba-tiba timbul isu-isu yang boleh menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Menurutnya, apa yang penting calon yang dipertaruhkan perlu berlandaskan keperluan dan kesesuaian demografi di sesuatu kawasan Parlimen. – Malaysiapost
Kredit foto: Astro Awani