“Jangan tiba-tiba tukar PM bila dah menang” – Syed Saddiq
PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpendapat Barisan Nasional (BN) kini masih bermain ‘tarik-tali’ berhubung calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umumke-15 (PRU-15).
Menurutnya, walaupun sudah berbulan-bulan gabungan itu mencanangkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri kekal menjadi Perdana Menteri jika BN diberi menang, namun tiada kepastian mengenainya sehingga kini.
“Jangan main tarik-tali. Dah berbulan-bulan sebut, Datuk Seri Ismail akan jadi PM (Perdana Menteri) kalau BN menang. Siap cakap Datuk Seri Ismail ‘poster boy’ BN.
“Ini tiba-tiba akan bagi lagi banyak nama. Bila tanya letak nama sendiri, kata ‘irrelevant’. Kan senang boleh cakap ‘Yes’ or ‘No’.
Kalau masih tak pasti, masih stabil dan makmur ke?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media yang mendakwa Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno kini sedang menyusun langkah untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.
Syed Saddiq berkata, perkara itu diperkuatkan lagi dengan berita mengenai beberapa penyandang Parlimen gabungan berkenaan akan digugurkan daripada menjadi calon pada PRU-15.
“Dengar juga semalam siapa yang tak sokong Presiden Umno ini, tak dapat bertanding. Ada yang sampai tutup cawangan pun ada.
“Jangan tiba-tiba tukar PM bila dah menang. Jangan tipu rakyat! Barang ‘order’ lain, barang sampai lain,” sindirnya.
Menurutnya, bagi MUDA yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), komitmen sudah diberikan bagi mengangkat Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri.
Terdahulu beberapa media melaporkan Ahmad Zahid kini sedang menyusun langkah untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi BN jika gabungan itu menang pada PRU-15 ini.
Laporan berkenaan mendakwa, langkah itu dimulakan dengan kesemua penyandang Parlimen yang cenderung menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri akan digugurkan daripada menjadi calon.
Antara yang dijangka digugurkan ialah penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid.
Turut tersenarai digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; serta Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Selain itu, penyandang Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Abdul Muttalib; Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Malam tadi Shahidan turut memaklumkan bilik gerakan BN di sekitar Arau ditutup dipercayai kerana namanya tidak menjadi calon BN bagi PRU-15. – Malaysiapost