JDT cabar Borussia Dortmund 28 November ini
JOHOR Darul Ta’zim akan menentang kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, 28 November ini.
Menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pihaknya berbangga untuk mengalu-alukan kehadiran Borussia Dortmund dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik sebagai sebahagian dari Jelajah Asia BVB 2022.
“JDT dan gergasi Jerman ini sudah mempunyai kerjasama yang baik sejak kolaborasi akademi dan perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Larkin pada tahun 2015.
“Ia satu kebanggaan untuk menerima kunjungan pasukan bereputasi seperti Borussia Dortmund sekali lagi dan kali ini di rumah baharu kami,” kataTunku Mahkota Johor menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tiger.
Sementara itu wakil kelab Jerman itu turut menzahirkan rasa teruja dan gembira dapat kembali semula ke Johor Bahru untuk bertemu JDT.
“Pasukan kami tidak sabar untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih dan bertemu dengan peminat dan penyokong kami di Malaysia sekali lagi,”kata Benedikt Scholz, Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Komersil kelab itu.
“Kami sangat menghargai jalinan kerjasama dengan JDT dan Tunku Mahkota Johor dan atas sebab itu kami berbesar hati kerana dapat melangsungkan perlawanan ini sebagai sebahagian daripada JELAJAH ASIA BVB 2022.
“Kami di BVB teruja untuk mengulangi kembali perlawanan yang pernah berlangsung pada 2015 dan menjangka sebuah pengalaman tidak boleh dilupakan.” menurut Dr Suresh Letchmanan, Pengarah Urusan Borussia Dortmund Asia Pasifik. – Malaysiapost