Ketua Menteri Pulau Pinang positif Covid-19
BERBAKI tiga hari lagi sebelum hari penamaan calon, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow disahkan positif Covid-19, hari ini.
Beliau memaklumkan berita itu menerusi hantaran di Facebooknya, serta memuat naik gambar Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) yang menunjukkan keputusan positif.
“Menjalankan ujian saringan kendiri Covid-19 pada pagi ini. Telah memperoleh panduan serta nasihat daripada pasukan kesihatan dan diberikan ubat-ubatan bersesuaian.
“Saya mendoakan semua berada dalam kesihatan yang baik dan seboleh-bolehnya patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan diri, keluarga serta komuniti kita,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga penyandang Parlimen Tanjong diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan calon bertanding PRU15 yang dijangkiti Covid-19 ketika tempoh kempen perlu diasingkan.
Khairy berkata, calon tersebut boleh menjalankan kempen secara dalam talian sepanjang tempoh tersebut.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya bagi yang positif Covid-19 membuang undi. – Malaysiapost