Konsep Ketuanan Malaysia: Zahid ingatkan DAP henti kempen perkauman
DAP perlu menghentikan anasir perkauman dalam kempen politik parti itu untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia.
Membidas perkara itu, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Kit Siang itu langsung tidak menyumbang kepada perpaduan kaum, selain berisiko menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
“Ketuanan Melayu tentang keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu.
“Termaktub sejak sekian lama tanpa sedikit pun menafikan hak dan peluang kaum lain di bumi Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, Ahmad Zahid berkata, kenyataan Kit Siang itu seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia.
Jelas Ahmad Zahid lagi, sedangkan semua menyaksikan bahawa rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di Malaysia.
“Sosioekonomi, sosiopolitik dan segala-galanya yang menjadi acuan negara ini sejak dulu.
“Pilihan raya adalah elemen terpenting demokrasi, bukan elemen yang berisiko meranapkan kebersamaan masyarakat.
“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga antara kaum di negara ini?,” soalnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) sebagai contoh merangkumi pimpinan dan ahli parti terdiri daripada pelbagai kaum.
Katanya, DAP sendiri sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.
“Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Daripada golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig. Berhentilah DAP dengan anasir kempen seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Kit Siang mendakwa konsep Ketuanan Melayu cuma penyamaran kepada ‘Umnoputra’ yang didakwanya menjadi kaya raya ketika golongan Bumiputera sebenar miskin dan tertinggal.
“Kedua, ia bertentangan dengan prinsip asal pembinaan Malaysia bahawa Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, adalah rakyat Malaysia yang sama rata dan tiada golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga,” kata Kit Siang. – Malaysiapost