Maslin Sham calon Kuala Kangsar, Ustaz Kazim di Larut
DATUK Maslin Sham Razman dijangka akan dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dalam pengumuman calon Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) malam ini.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, disebut-sebut akan menjadi calon baharu selepas desas-desus mengatakan penyandang kerusi berkenaan Datuk Mastura Mohd Yazid bakal digugurkan.
Kedudukan Maslin Sham sebagai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, juga dilihat memberi potensi cerah untuk BN mengekalkan kemenangan di Parlimen itu.
Sementara itu, satu lagi kejutan membabitkan nama besar dijangka akan diumumkan sebagai calon di Parlimen Perak pada malam ini.
Difahamkan Umno bakal mempertaruhkan pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim untuk menuntut kembali kerusi Parlimen Larut daripada penyandangnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam PRU-14, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu memenangi kerusi berkenaan atas tiket Umno dan BN.
Spekulasi kuat mengatakan penceramah itu hadir di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur dan menandatangani surat aku janji serta mengambil gambar profil calon yang turut tular di media sosial.
Difahamkan juga, pemilihan Ustaz Kazim dibincang dan diluluskan dalam pertemuan ‘Top 5’ Umno beberapa hari lalu. – Malaysiapost