‘Nak halang PH berkuasa undi BN, terbalik tu Datuk…’ – Ketua Pemuda PAS

‘Nak halang PH berkuasa undi BN, terbalik tu Datuk…’ – Ketua Pemuda PAS

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membuat pertimbangan ‘kurang stabil’ apabila meminta ahli PAS mengundi Barisan Nasional (BN) demi menyekat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sepatutnya Khairuddin menyeru semua pihak untuk mengundi PAS dan Perikatan Nasional (PN) sehingga gabungan itu mendapat kemenangan besar sekali gus dapat menghalang PH kembali berkuasa.

“Nak halang PH berkuasa, undi BN. Terbalik tu Datuk (Khairuddin). Sepatutnya jika semua undi PAS dan PN sehingga PAS dan PN menang besar, itulah yang benar-benar dapat halang PH berkuasa.

“Baik sakan Datuk dengan BN ya, sehingga satu-satu cara untuk halang PH hanyalah dengan undi BN

“Barangkali mata Datuk sudah rosak atau pertimbangan sudah menjadi kurang stabil. Apapun selamat berjaya lah Datuk,” sindirnya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, Khairuddin perlu berhenti daripada menggunakan menggunakan gelaran ‘bekas Ahli Majlis Syura PAS’, sebaliknya gunalah kekuatan sendiri untuk jadi calon BN.

“Datuk yang baru ‘berhenti menjadi ahli PAS’, gunalah kekuatan sendiri untuk jadi calon BN, tak perlu lagi menggunakan nama ‘bekas ahli majlis syura’.

“Malulah kepada diri sendiri, banyak mana kelebihan yang Datuk dapat sebagai menteri ketika berada dalam PAS. Muhasabahlah, tidak akan ke mana politik Datuk ni,” katanya.

Kelmarin, Khairuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus meminta ahli dan penyokong PAS mengundi BN bagi mengelak kemenangan PH pada PRU15, yang akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.

Susulan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Khairuddin tidak layak menasihatkan ahli PAS kerana beliau bukan lagi ahli parti itu. – Malaysiapost

Komen