Pemuda Umno persoal tindakan PH ulang janji hapus tol
JANJI Pakatan Harapan (PH) menghapuskan tol jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah idea yang sangat populis, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, walaupun asasnya menghapuskan tol satu perkara yang membantu rakyat, tetapi membelanjakan RM400 bilion bagi membayar pampasan ke atas syarikat konsesi tol adalah tidak praktikal.
Ini kerana, katanya RM400 bilion tersebut akan dapat dinikmati sebahagian rakyat yang menggunakan tol sahaja, berbanding rakyat luar bandar yang mendapat kesan sangat minimum.
“Sebab itulah kerajaan BN (Barisan Nasiona) pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) memulakan usaha untuk mengambil alih konsesi tol PLUS daripada pihak swasta. Melalui pemilikan bersama antara KWSP dan Khazanah.
“Dengan cara itu majoriti rakyat akan dapat merasai keuntungan tol ini daripada dividen KWSP mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, kerajaan BN masih berusaha menghapuskan tol secara perlahan-perlahan dan setakat ini 11 daripadanya sudah tiada iaitu Metramac, Teluk Kapas, Batu 9, Batu Tiga, Sungai Rasau dan Tol Bukit Kayu Hitam.
Katanya, kerajaan BN juga membina lebuh raya tanpa tol, antaranya Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Central Spine Road (CSR) menghubungkan Kota Bharu – Pahang serta Rawang Bypass yang juga jambatan tertinggi di Malaysia (60 meter dari tanah).
“Lebuhraya CSR membuktikan kerajaan BN zaman Perdana Menteri (PM) 5 dan PM 6 sangat menghormati semangat federalisme dengan memberi peruntukan setara kepada Kelantan walaupun ia diperintah pembangkang.
“Tidak wujud diskriminasi seperti zaman PM 4. Malah Kelantan diberi tambahan stesen ECRL, pembesaran Lapangan Terbang, Pelabuhan Tok Bali, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 3, bantuan pengurusan bekalan air serta penghapusan hutang melalui pajakan aset air sepertimana negeri-negeri lain.
“Semua ini akhirnya mencipta peluang pekerjaan dan memberikan pendapatan kepada rakyat tanpa mengira parti,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo pula membuktikan keprihatinan kerajaan BN agar Sabah dan Sarawak tidak tertinggal dari segi pembangunan.
Menurutnya, BN tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang malah tidak akan sesekali berbuat demikian.
“Kami hanya akan menjanjikan sesuatu yang praktikal, boleh dilaksana dan memberi manfaat optimum kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk golongan B40.
Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam ‘SCRIPT-For a Better Malaysia’, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia.
Dalam buku dihasilkan menerusi kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan, Anwar antara lain mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan ‘Pas Tol’ kepada golongan itu.
Selain itu, beliau yang juga Presiden PKR berpandangan kerajaan perlu mula melaksanakan kajian skim tol untuk golongan M40 dan T20. – Malaysiapost