Perjuangan Radzi mengangkat kebajikan murid membuahkan hasil

Perjuangan Radzi mengangkat kebajikan murid membuahkan hasil

Aiman Hanif

LAPORAN KHAS | KEBAJIKAN murid dan ibu bapa menjadi antara fokus utama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin sepanjang menerajui kementerian itu.

Kebajikan bukan saja membabitkan bantuan asas persekolahan, namun juga soal pemakanan turut menjadi perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Radzi.

Usaha KPM untuk memberikan makanan berkhasiat pada murid-murid, khususnya sarapan pagi membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju meningkatkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Usaha KPM untuk meningkatkan kadar RMT telah diluluskan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

Kadar yang dulunya RM2.50 bagi Semenanjung Malaysia, kini dinaikkan kepada RM3.50.

Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula kadar dinaikkan daripada RM3.00 ke RM4.00. Kadar berkenaan akan bermula Oktober lalu.

Usaha KPM yang mendapat kelulusan kerajaan dijangka akan dapat memberi manfaat kepada 813,393 murid penerima RMT.

Selain itu, KPM di bawah Radzi juga membawa khabar gembira buat anak-anak dan ibu bapa melalui usahanya memperjuangakan kebajikan buat mereka.

Untuk tahun 2022, penambahbaikan dibuat kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan peningkatan daripada RM100 kepada RM150.

Dalam Bajet 2023, penambahbaikan terus dibuat kepada BAP yang mana sebelum ini, ibu bapa berpendapatan RM3,000 ke bawah sahaja yang layak menerima BAP untuk anak yang bersekolah.

Namun, bagi tahun 2023, semua murid akan menerima BAP tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka.

Bantuan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 5 juta murid dan melibatkan peruntukan RM825 juta berbanding RM450 juta pada tahun 2022.

Kepimpinan Radzi bukan saja berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan murid, malah turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan murid dan ibu bapa.

Sejarah beliau yang lahir daripada keluarga orang kampung biasa membuatkannya lebih memahami aspirasi kehendak rakyat khususnya dalam sektor pendidikan.- Malaysiapost

Komen