PRU15: 4 menteri, 3 timbalan menteri tidak dicalonkan
EMPAT menteri dan tiga timbalan menteri dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Empat menteri yang digugurkan ialah, Menteri komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagi kerusi Parlimen Ketereh yang digantikan oleh Ketua Puteri Umno Kelantan Marzuani Ardila Ariffin.
Turut digugurkan, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim digantikan Rozabil Abd Rahman bagi kerusi Parlimen Arau.
Selain itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba digantikan Manndzri Nasib di Tenggara.
Serta, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique digantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk Parlimen Kota Tinggi.
Tiga timbalan menteri yang tidak dicalonkan termasuk, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digantikan oleh Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan di Parlimen Padang Besar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid digantikan Maslin Sham Razman di Kuala Kangsar.
Serta, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib digantikan Shahaniza Shamsuddin di Maran.
Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan calon bagi kerusi Tanjung Karang yang disandang Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar. – Malaysiapost