PRU15: Annuar beri bayangan tanding atas tiket parti lain jika tak dicalon

PRU15: Annuar beri bayangan tanding atas tiket parti lain jika tak dicalon

TAN Sri Annuar Musa memberi bayangan akan bertanding menggunakan tiket parti lain jika tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu bagaimanapun berkata beliau hanya memikirkan mengenainya atau tindakan lanjut selepas disahkan tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN).

BN akan mengumumkan calon bagi PRU15 di ibu negara malam ini.

“Katalah saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak boleh mengamuk dan marah. Namun perjalanan politik saya masa itu saya akan duduk serta fikirkan kalau buat sekian-sekian apa jadi. Saya akan fikir dengan jiwa yang tenang tanpa terburu-buru.

“Pilihan itu banyak. Sekarang ini kalau tidak duduk dalam parti kerajaan pun, diluar pun ada parti lain juga parti kerajaan. Ini kerana senario politik nasional sudah berubah.

“PAS pun parti kerajaan, Bersatu pun parti kerjaan. Semua di bawah pimpinan Perdana Menteri yang sama. Tepuk dada tanya selera,”
katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu timbul spekulasi Annuar tidak akan dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Keterah yang disandangnya.

Sementara itu Annuar menegaskan beliau tidak akan meminta, merayu atau melobi kepada pucuk pimpinan Umno jika tidak dicalonkan bertanding semula di Keterah.

Tegasnya, beliau berpegang dengan prinsip sejak dahulu iaitu seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

“Kalau parti pilih saya untuk tugas tanggungjawab, saya akan terima. Namun saya minta tidak usahlah kita membuat spekulasi kerana proses masih berjalan.

“Kita serah kepada parti untuk menentukannya dan siapa yang akan menerima watikah malam ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar mengakui banyak berbeza pendapat membabitkan beberapa isu dengan pucuk pimpinan parti.

“Saya akui saya memang begitu. Kita tidak boleh menjadi burung kakak tua sehinggakan orang tidak tahu pemikiran kita yang sebenar.

“Saya memang pro Muafakat Nasional (MN) yang kuat kerana saya tukang baca deklarasi MN dan saya tahu segala-galanya namun buat masa ini saya kunci mulut dahulu.

“Sejak Umno jatuh, proses pemulihan melalui pelbagai cara dan pendapat. Nasihat saya kalau mahu Umno kuat, perlu menyatupadukan orang Melayu dan parti Melayu supaya selepas PRU15, kita tidak akan menumpang atau meminta-minta. Ini juga berlaku perbezaan pendapat.

“Begitu juga perbezaan tiga pendapat yang besar antara saya dengan pucuk pimpinan termasuk pucuk pimpinan menandatangani surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa pengetahuannya dan isu tarik sokongan terhadap kerajan dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya. – Malaysiapost

Komen