PRU15: ‘Taat, tetap, khidmat dan muafakat kriteria calon BN yang dipilih’ – Zahid

PRU15: ‘Taat, tetap, khidmat dan muafakat kriteria calon BN yang dipilih’ – Zahid

CALON Barisan Nasional (BN) yang ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 mempunyai tanggungjawab dan beban amanah yang amat besar, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata prinsip keutamaan yang diterap dalam saringan calon berkenaan mencakupi empat kriteria penting iaitu taat, tetap , khidmat dan muafakat.

“Pertama, tetap memegang amanah rakyat dan tidak mengkhianati mandat. Kedua, Khidmat demi rakyat dengan waktu bekerja mengikut pusingan jam.

“Ketiga, muafakat berterusan dengan semua segmen masyarakat, bagi mendapatkan saranan dan kaedah pelaksanaan usaha mensejahterakan kehidupan rakyat agar sentiasa sesuai, segar dan segera,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dengan tiga keutamaan ini, menjadi wakil rakyat ia bukanlah jawatan untuk mendapatkan keistimewaan.

Jelas Ahmad Zahid lagi, BN juga menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

“Calon-calon yang diketengahkan adalah gandingan muka baharu dan lama, mereka mempunyai kekuatan rekod berbakti kepada rakyat dan kesegaran idea, serta sudut pandang yang bugar demi kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan calon BN bahawa wakil rakyat bukan tiket untuk mendapat layanan sebaliknya mesti mampu menjadi pelayan.

“Wakil rakyat bukan untuk kemegahan dan kemewahan, sebaliknya untuk mensejahterakan kehidupan seluruh watan.

“Bagi yang terpilih semula teruskan kecemerlangan perkhidmatan dan bagi yang tidak terpilih, jasa dan sumbangan anda semua akan terpahat dalam tinta sejarah perjuangan BN.

“Sekali lagi bagi pihak keluarga besar Barisan Nasional terima kasih kami ucapkan atas segala sumbangan,” katanya. – Malaysiapost

Komen