Tukar dasar ‘Ketuanan Melayu’ kepada dasar ‘Ketuanan Malaysia’ – Kit Siang
MALAYSIA memerlukan dasar ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya ‘Ketuanan Melayu’ sekiranya hendak menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia.
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, dasar ketuanan Melayu hanyalah satu helah golongan Umno-putra untuk mengkayakan diri mereka secara melampau sambil orang Melayu dan Bumiputera yang lain terus miskin dan ketinggalan.
“Dasar ini bertentangan dengan prinsip asas pembinaan negara Malaysia, di mana setiap rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, adalah sama-sama rakyat Malaysia, bahawa tidak ada beza rakyat kelas pertama, kelas kedua, atau kelas ketiga.
“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Malaysia sedikit sebanyak sudah mengambil ciri-ciri pilihan raya presiden seperti di Amerika Syarikat, kerana rakyat Malaysia kini akan memilih siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Kit Siang yang tidak bertanding pada PRU15 ini berkata, daripada empat orang calon Perdana Menteri ke-10, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dengan melaksanakan dasar ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya ‘Ketuanan Melayu’.
“Anwar pertamanya adalah seorang rakyat Malaysia, ‘Malaysian First’, dan semua pemimpin politik dalam negara Malaysia yang hebat perlulah seorang ‘Malaysian First’.
“Calon-calon Perdana Menteri ke-10 yang lain, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, semua bertanggungjawab menyebabkan kemerosotan Malaysia.
“… dari salah satu negara terbaik di dunia kepada negara yang kini biasa-biasa sahaja, dengan politik, ekonomi, pendidikan, dan pelbagai dasar-dasar pembinaan negara terus menjadi semakin teruk,” katanya.
Kit Siang turut mendakwa, ketiga-tiga presiden parti yang melibatkan Umno, Bersatu dan PAS tidak berupaya mengembalikan Malaysia ke puncak kegemilangan di persada dunia.
“Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan kita terus merosot dan bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara.
“Pada tahun 1965, RM1 bersamaan dengan satu dolar Singapura, kini satu dolar Singapura bersamaan dengan 3.345 ringgit Malaysia.
“Sekiranya perkara ini tidak menunjukkan kemerosotan Malaysia, saya tidak tahu apa lagi yang boleh menunjukkan ‘kemerosotan’.
“Zahid, Muhyiddin, dan Hadi adalah antara mereka yang menyumbang kepada kemerosotan ini. Hanya Anwar sahaja yang boleh mengembalikan Malaysia kepada prinsip pembinaan negara kita yang asal dan menjadikan Malaysia kembali hebat,” katanya. – Malaysiapost