Tun M, Muhyiddin sama-sama pengkhianat – Puad

Tun M, Muhyiddin sama-sama pengkhianat – Puad

KETIKA Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin saling bertelagah mengenai siapa pengkhianat yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), seorang pemimpin Umno pula mendakwa kedua-dua pemimpin sama-sama pengkhianat.

Menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, kedua-duanya pengkhianat kerana bersekongkol dengan DAP dalam kerajaan PH terdahulu.

“Mahathir kata, beliau sedia melupakan “pengkhianatan” Muhyiddin supaya Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama untuk tumbangkan Umno.

“Muhyiddin tolak tawaran itu dan kata dia bawa Bersatu keluar PH demi agama, bangsa dan negara.

“Sebenarnya kedua-dua mereka pengkhianat. Mereka bersekongkol dengan DAP dan sempat bermaharajalela selama 22 bulan melalui Kementerian Kewangan. Mereka tipu rakyat dengan janji 100 hari,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Mohd Puad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan PH, aset Tabung Haji dan Khazanah dijual, malah membisu apabila ICERD dan Statut Rom cuba diritifikasikan.

“Mereka bersekongkol kerana Malaysia kehilangan Pulau Batu Putih.

“Mereka berdua menaikkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Mereka terpalit dengan pendedahan Tommy Thomas. Rakyat patut menghukum mereka 19 November ini,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mendakwa bukan sukar untuk memastikan siapa yang menjadi pengkhianat sehingga beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas 22 bulan memerintah.

Beliau mendakwa, sebenarnya Muhyiddin yang memecatnya sebagai Pengerusi Bersatu dan juga beberapa pemimpin Bersatu lain yang tidak setuju dengan Langkah Sheraton.

Secara sinis Dr. Mahathir berkata, beliau bukan Perdana Menteri pintu belakang atau tebuk atap, sebaliknya Muhyiddin.

Terdahulu Muhyiddin berkata beliau tidak kisah hilang jawatan dalam kerajaan dan dituduh pengkhianat asalkan tidak mengkhianati bangsa, agama dan negara. – Malaysiapost

Komen