Alhamdulillah semoga kutukan bertukar jadi pahala – Ustaz Kazim
PENDAKWAH bebas Datuk Mohd Kazim Elias mengucapkan terima kasih atas segala kutukan dan kecaman terhadapnya.
Ia diluahkan beliau dipercayai selepas namanya diumumkan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum (PRU15) semalam.
Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dalam hantaran Facebook, berkata beliau berdoa agar semua hinaan yang dilemparkan kepadanya bertukar menjadi pahala.
“Alhamdulillah Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangi pahala anda,” tulisnya dalam hantaran itu.
Hantaran tersebut dipercayai berhubung kait dengan pengumuman Mohd Kazim bakal bertanding di Parlimen Larut atas tiket BN di mana sebelum ini kerusi tersebut disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Rata-rata warga maya terkejut dengan pencalonan beliau kerana sebelum ini Mohd Kazim memaklumkan sedang menjalani rawatan secara tradisional dan moden bagi mengubati penyakit misteri yang hidapinya sejak beberapa tahun lalu.
Disebabkan penyakit misteri itu beliau terpaksa memakai topeng ketika memberi ceramah kerana disebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu sidang media hari ini, memaklumkan Mohd Kazim menarik diri daripada bertanding di Parlimen Larut.
Mohd Kazim akan digantikan oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
“Ustaz Kazim menarik diri pada saat akhir dan digantikan dengan Mohd Shafiq,” kata Saarani. – Malaysiapost