Anak Najib jadi calon BN DUN Peramu Jaya

Anak Najib jadi calon BN DUN Peramu Jaya

ANAK sulung kepada Datuk Seri Najib Razak, Mohamad Nizar, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.

Peramu Jaya adalah salah satu daripada DUN bawah Parlimen Pekan yang disandang bapanya sebelum ini.

Senarai 42 calon BN bagi bertanding DUN Pahang diumumkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebentar tadi.

Penyandang kerusi Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, pula akan bertanding di Parlimen Pekan, kerusi yang disandang keluarga Najib selama 63 tahun sejak Perdana Menteri kedua.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pula akan mempertahankan kerusi DUN Jelai.

Pada PRU ini, BN Pahang akan bertanding 42 kerusi DUN Pahang dengan menampilkan 27 muka baharu bagi DUN, manakala lapan muka baharu pula daripada 14 calon Parlimen.

Daripada jumlah kerusi DUN itu, 34 kerusi ditandingi Umno dan enam (MCA) bagi kerusi DUN, manakala 11 kerusi Umno dan tiga kerusi MCA di Parlimen.

Bagaimanapun, dua calon bagi kerusi Sabai dan Cheka tidak diumumkan hari ini.

Wan Rosdy berkata, kombinasi muka baharu dan lama adalah ramuan yang strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang telah dirancang serta percambahan idea segar dan baharu.

Katanya, calon yang dibariskan adalah mewakili semua parti komponen berdasarkan persetujuan dan persefahaman yang jelas atas semangat dan muafakat BN.

“Tidak berlaku pergeseran atau masalah yang besar dalam merunding dan membahagikan kerusi antara parti komponen BN,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang, hari ini.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga calon Parlimen Bera

Pada PRU14, BN Pahang memenangi sembilan daripada 14 Parlimen manakala kerusi DUN pula BN memenangi 25 daripada 42 kerusi. – Malaysiapost

Komen