Annuar bertanding guna logo Muafakat Nasional?
MUNGKINKAH Tan Sri Annuar Musa akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menggunakan logo Muafakat Nasional (MN)?
Perkembangan itu menarik perhatian selepas Annuar yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) memuat naik di Facebook salinan dokumen pendaftaran pertubuhan MN.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tujuan memuat naik salinan dokumen tersebut namun seakan memberi bayangan beliau akan bertanding pada PRU15.
Menerusi hantaran itu, penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu berkata beliau akan terus berkhidmat terutama bagi penyatuan ummah.
“Insya-Allah masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan, terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.
“Islam dan umat Melayu harus kekal kuat dan berkuasa. Kita kuat jika bersatu padu, berdiri dalam saf yang dipimpin dengan jelas hala tuju, kepimpinan bermutu.
“Biarpun terbuang, harus kekal sebagai pejuang yang terbilang,” katanya. – Malaysiapost