Anwar gesa Abang Johari pertimbang tarik balik larangan masuk Sarawak
DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat memberi kelonggaran dan mempertimbang untuk menarik balik larangan masuk ke atas beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Pengerusi PH itu, langkah tersebut bagi membolehkan mereka membantu calon-calon parti di Sarawak sepanjang tempoh berkempen kelak.
“Besar harapan saya agar permohonan ini dapat diberi perhatian oleh beliau dan pihak kami juga tidak mahukan sebarang isu atau konflik dengan kerajaan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hujung tahun lalu, dua pemimpin PH, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP) dan pemimpin PKR, Wong Chen dilarang memasuki Sarawak bagi membantu kempenPilihan Raya Negeri (PRN).
Pada PRU14 lalu, antara pemimpin PH yang disenarai hitam dari memasuki Sarawak termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Tian Chua. – Malaysiapost