Aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ bukti kerajaan bantu rakyat miliki kediaman
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ akan dilaksanakan jika kerajaan yang diterajuinya dipilih semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, sehubungan itu beliau mengumumkan satu lagi inisiatif kerajaan iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas yang bernilai RM113 juta.
Katanya, pembinaan PPR Kepala Batas bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah.
Tambah beliau, projek itu melibatkan pembinaan sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
“Projek PPR Kepala Batas ini turut menyediakan 7 unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.
“Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pecah Tanah Projek PPR Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Perdana Menteri turut berterima kasih di atas sokongan PERDA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana menyediakan tanah yang bersesuaian untuk pembinaan perumahan PPR Kepala Batas itu. – Malaysiapost