Asyraf Wajdi serah sepenuh jiwa raga untuk Gerik
KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berjanji akan komited berkhidmat untuk masyarakat di Gerik jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Ikrar tersebut dibuat selepas beliau diumum bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik pada PRU15.
“Dengan rendah hati dan penuh rasa kesetiaan kepada parti dan perjuangan, malam tadi saya diamanahkan oleh pucuk pimpinan BN untuk kali ini bertanding pada PRU15 Parlimen P054 Gerik.
“InsyaAllah saya berikrar dan berjanji untuk mewakafkan kudrat dan sepenuh jiwa raga serta idea yang ada ini bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Gerik jika dipilih kelak,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semalam, Ketua Pemuda Umno itu diumumkan bakal bertanding di Parlimen Gerik mewakili BN pada PRU15.
Manakala Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarikh Khan bakal membawa cabaran BN di kerusi Padang Besar bagi menggantikan penyandangnya Datuk Zahidi Zainul Abidin. – Malaysiapost