Cuaca buruk melanda hampir seluruh negara petang ini
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda hampir seluruh negara sehingga jam 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu akan melanda beberapa kawasan di negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor.
Negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di Kedah (Baling), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta), Kelantan (Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).
Di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat), Negeri Sembilan dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).
Bagi Sarawak pula, Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu (Sebauh) dan Limbang manakala di Sabah: Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Sementara itu, MetMalaysia memaklumkan akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di Tawau esok.
Menurutnya, pengujian itu akan dilaksanakan bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang di Masjid Al-Khauthar dan Masjid Al Mukaramah Kg Tanjung Batu Keramat.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan ujian sahaja.
“MetMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” katanya. – Malaysiapost