‘Jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut’ – Annuar Musa

‘Jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut’ – Annuar Musa

TAN Sri Annuar Musa seakan memberi bayangan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebaliknya namanya digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu mahu meninjau terlebih dahulu pendirian jentera akar umbinya serta rakyat kawasan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Untuk perjalanan seterusnya elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya, serta sentimen rakyat yang mengangkat saya.

“Elok saya serahkan diri saya kepada rakyat dan biar rakyat tentukan perjalanan seterusnya.

“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar.

“Elok dahulukan berfikir dengan akal panjang, kemudian bolehlah nanti kita bertindak dengan jiwa yang tenang dan dada yang lapang Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Malam tadi, BN mengumumkan Ketua Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Ketereh.

Sementara itu Annuar berkata, beliau menerima seadanya dan berlapang dada dengan keputusan parti.

“Kita tutup dulu satu episod, dan kita pandang ke hadapan serta menghitung langkah seterusnya.

“PRU14 dulu, lebih 25,000 telah mengundi saya. Ahli Umno Ketereh cuma 14,000. Bererti lebih 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan ahli Umno. Kesemuanya amat saya hargai.

“Ia memenuhi aspirasi saya yang mahu melihat ahli umno dan bukan ahli Umno terutama ahli PAS kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional yang kita bersama perjuangkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen