Kena gugur sebab mereka bukan ‘orang’ Zahid – Tun M

Kena gugur sebab mereka bukan ‘orang’ Zahid – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa pengguguran orang lama dalam Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mereka bukan ‘orang’ Presiden parti itu.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, selain itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengugurkan nama mereka kerana tidak sebulu dengan beberapa tindakan Presiden Umno sebelum ini.

“Saya sedih melihat orang lama pemimpin Umno yang sudah memimpin Umno selama lapan kali tetapi digugur dan diganti orang tidak dikenali, saya sedih melihat mereka seperti (Datuk Seri) Shahidan, (Tan Sri) Annuar Musa dan beberapa lagi yang lain termasuk (Datuk Seri) Tajuddin.

“Mereka digugurkan kerana saya berpendapat mereka bukanlah orang Presiden Umno.

“Presiden nak orang dia jadi calon tetapi bagi kita masalah ini tak timbul walaupun ada kecewa tak jadi calon tapi taklah tindakan dibuat gugur sesiapa,” ucapnya dalam majlis pengumuman calon GTA pada PRU15 di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

PRU15 kali ini tidak dapat menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Annuar Musa mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing.

Semalam, Barisan Nasional telah menggugurkan nama mereka dan menggantikan muka baru bertanding di Parlimen Arau, Pasir Salak dan Ketereh. -Malaysiapost

Komen