Krisis PBM menemui titik noktah
KRISIS dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang membabitkan Presidennya, Datuk Larry Sng dan Datuk Zuraida Kamaruddin akhirnya berjaya menemui titik penyelesaian.
PBM dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan mereka bersetuju untuk bermuafakat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Kepimpinan PBM bersetuju memutuskan senarai nama calon PRU15 mewakili parti itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Watikah semua calon itu akan ditandatangani oleh Larry,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, pimpinan tertinggi PBM dengan semangat permuafakatan berjaya memurnikan hal-hal berbangkit dan akan menumpukan usaha bagi mendepani PRU.
“Hal-hal lain berkaitan pentadbiran parti akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15,” katanya.
Isu Larry dan Zuraida tercetus apabila Ahli Parlimen Julau itu mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Zuraida dilantik Presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan PBM pada 7 Oktober lalu.
Larry pula mendakwa beliau tidak pernah melepaskan jawatan sebagai Presiden selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang PBM pada PRU15.
Larry kemudian menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM termasuk Zuraida. – Malaysiapost