Lando calon GTA di Tanjong Karang
GERAKAN Tanah Air (GTA) mencalonkan pelakon Lando Zawawi bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pada pengumuman senarai calon GTA yang bertanding pada PRU15 hari ini, pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) yang terkenal dengan aktivis penyelenggaraan kerosakan jalan raya itu telah dinamakan untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) Selangor.
Sebelum ini, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Nawawi memaklumkan, dia memasuki arena politik ini adalah untuk ‘membetulkan’ sistem yang ada ketika ini yang didakwa lambat bertindak, contohnya seperti aduan jalan raya.
Malah, Lando menegaskan, sekiranya dia menang, sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan isu birokrasi yang wujud dalam sistem pentadbiran ketika ini.
“Sebab itu saya sebagai mewakili Brotherhood mahu sistem ini ‘dikembalikan’ semula supaya setiap masalah atau aduan dapat disegerakan.
“Bukan sahaja berkaitan jalan raya tetapi melibatkan semua aduan supaya ia dapat dilaksanakan dengan pantas demi keselesaan rakyat,” katanya.
Semalam, BN telah mengumumkan senarai calonnya yang bertanding pada PRU15 ini.
Bagaimanapun BN belum menentukan calonnya bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Karang yang sebelum ini dimenangi Tan Sri Noh Omar.
Untuk rekod, dalam PRU14 lalu, Noh berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dengan majoriti 1,970. -Malaysiapost