Limpahan rezeki Keluarga Malaysia untuk Keluarga Kepala Batas

Limpahan rezeki Keluarga Malaysia untuk Keluarga Kepala Batas

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
 Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bersyukur penduduk di kawasan berkenaan dilimpahi rezeki ‘Keluarga Malaysia’.

Calon yang dinamakan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas itu berkata, penduduk di parlimen berkenaan bukan sahaja menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini tetapi pemimpin negara itu turut merasmikan pecah tanah tiga projek besar untuk manfaat Keluarga Kepala Batas.

Beliau berkata, projek-projek berkenaan adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas; Kepala Batas Youth Centre (KBYC) dan juga Masjid Bandar Putra Bertam.

Menurutnya, sebanyak 700 unit PPR, bernilai RM170 juta, yang akan dibina di Pongsu Seribu bakal menyediakan kediaman selesa pada harga mampu milik kepada penduduk.

“Inilah harapan saya untuk Keluarga Kepala Batas, supaya tiada siapa ketinggalan dari inisiatif perumahan mampu milik Keluarga Malaysia. 

“KBYC bernilai RM45 juta di Pinang Tunggal yang akan dilengkapi fasiliti sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa pula adalah cetusan impian saya semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan, tidak lain bagi memperkasakan belia Kepala Batas seterusnya merintis belia berinovasi dan berdaya saing,” katanya yang turut bersama dalam majlis pecah tanah itu hari ini.

Beliau berkata, Masjid Bandar Putra Bertam, pula apabila siap kelak akan mampu menampung 1,600 jemaah pada satu masa, dan bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu malah akan mengimarahkan lagi aktiviti keagamaan dan komuniti setempat. 

“Saya juga ingin menzahirkan sejuta penghargaan kepada Perdana Menteri atas kelulusan dana berjumlah RM4 juta untuk pembinaan masjid ini. 

“Juga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyalurkan RM2 juta disamping kutipan RM1 juta oleh pihak kariah melalui wakaf dana pembangunan masjid,” katanya.

Reezal Merican berharap semua limpahan rezeki yang diumumkan untuk Keluarga Kepala Batas hari ini akan terus memacu parlimen berkenaan berkembang maju, menjadi Parlimen contoh bagi seluruh Malaysia. – Malaysiapost

Komen