Penyanyi rap Takeoff maut ditembak
PENYANYI rap, Takeoff, 28, dari kumpulan trio, Migos, maut selepas ditembak di pusat permainan boling di Texas, Amerika Syarikat semalam.
Takeoff atau nama sebenar, Kirshnik Khari Ball menghembuskan nafas terakhir di depan bapa saudaranya dan rakan anggota Migos, Quavo, lapor agensi.
Ketika kejadian, penyanyi itu menghadiri satu parti tertutup di luar premis 810 Billiards & Bowling Houston sekitar awal pagi.
Polis mengesahkan terdapat satu kematian di lokasi tetapi tidak mendedahkan identiti mangsa.
Seramai lebih 40 orang berada di lokasi sewaktu insiden terbabit.
Dilaporkan, imej dari lokasi itu menampakkan Takeoff terbaring kaku berlumuran darah dipercayai ditembak di bahagian kepala.
Tembakan itu berlaku sejam selepas dia memuat naik satu hantaran di Instagram Story.
Ruangan komen hantaran terbarunya di Instagram juga dipenuhi emoji dan ucapan sedih berhubung pemergian penyanyi rap yang memiliki lebih lapan juta pengikut di laman sosial itu.
Migos ditubuhkan Takeoff pada 2008 yang dianggotainya bersama sepupunya Offset dan Quavo. Offset adalah suami kepada Cardi B.
Migos pernah tercalon dua kali dalam Anugerah Grammy dan melancarkan album pertama berjudul Rich Nation pada Jun 2015.
Album terbabit pernah menduduki tangga ketiga dalam carta Album Rap Top Billboard. – Malaysiapost