Pilihan munasabah hanya Perikatan Nasional – Wan Saiful
RAKYAT tidak mempunyai banyak pilihan yang munasabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun dijangka menyaksikan pertandingan banyak penjuru.
Ini kerana, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan Barisan Nasional (BN) akan mengangkat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
“Keutamaan mereka adalah memperkaya dan menyelamatkan diri,” kata bakal calon Perikatan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu hari ini.
Tambah Wan Saiful, Pakatan Harapan (PH) pula akan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan agenda mereka akan merosakkan struktur asas Perlembagaan negara.
Malah, katanya, Ahmad Zahid pernah berpakat untuk mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Mereka berdua juga tidak pernah menafikan secara tuntas dakwaan bahawa ada pakatan untuk Zahid dan Anwar bekerjasama selepas PRU15.
“Pilihan yang munasabah hanyalah satu iaitu Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata, hanya PN menawarkan kerajaan prihatin yang bersih dan stabil, di bawah kepimpinan dua tokoh iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Tiada agenda sulit atau agenda menyelamatkan diri. Yang ada hanyalah agenda menjaga kebajikan rakyat dan membangun semula ekonomi negara.
“Saya mohon pengundi Tasek Gelugor bantu saya untuk menyumbang satu kerusi yang akan digunakan untuk menolak pakatan Zahid-Anwar, dan menjulang kepimpinan Muhyiddin-Hadi,” katanya.
Dalam PRU15 pada 19 November ini, Wan Saiful dijangka berdepan Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH) dan Muhamad Yusof Mohd Nor (BN) di Parlimen Tasek Gelugor. – Malaysiapost