PKR beri bayangan tukar calon di Sungai Buloh selepas KJ dicalonkan BN
PKR memberi bayangan parti itu mungkin akan menukar calon di Parlimen Sungai Buloh, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan Khairy Jamaluddin bertanding di situ.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata beliau akan berbincang dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.
“Saya akan berbincang dengan Anwar mengenai maklum balas pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.
“Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai Presiden parti,” ciapnya di Twitter, hari ini.
BN semalam mengumumkan Khairy yang juga penyandang kerusi Rembau sebagai calon Parlimen Sungai Buloh
PKR pula sebelum ini mengumumkan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R Ramanan sebagai calon Parlimen Sungai Buloh bagi menggantikan penyandang kerusi itu, R Sivarasa.
Selepas pengumuman Khairy sebagai calon di Parlimen berkenaan, terdapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk menukar calon mereka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-4 (PRU14) Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari PAS yang memperoleh 16,977 undi, A Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (642).
Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut. – Malaysiapost