PM sayang, pentingkan rakyat
KEHADIRAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa kali ke Pulau Pinang membuktikan beliau prihatin kepada rakyat di negeri berkenaan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Menurutnya, walaupun sudah berkunjung ke Pulau Pinang baru-baru ini, tetapi Naib Presiden Umno itu hadir lagi hari ini dengan membawa tiga projek besar untuk manfaat rakyat Pulau Pinang.
“Hari ini dia (Ismail Sabri) datang ke Kepala Batas..baru-baru ini ke Tasek Gelugor..dia beri bantuan kepada rakyat..dia prihatin kepada rakyat.
“Inilah Perdana Menteri yang kita nak. Bagi pihak rakyat Pulau Pinang saya ucapkan terima kasih kerana datang dan beri sumbangan kepada rakyat di negeri ini,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Beliau mengulas mengenai majlis pecah tanah tiga projek besar yang dirasmikan Perdana Menteri di Kepala Batas, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Ismail Sabri merasmikan pecah tanah bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas; Masjid Bandar Putra Bertam; dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC).
Menurutnya, limpahan rezeki Keluarga Malaysia itu adalah satu gambaran bahawa Ismail Sabri adalah seorang Perdana Menteri yang sayang dan pentingkan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Masjid Bandar Putra Bertam Dr Azman Hussin, pula mewakili kariah berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan dana dari kerajaan persekutuan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan masjid yang telah tertangguh hampir tujuh tahun itu.
“Tapak masjid dah ada tetapi dana tidak mencukupi walaupun sudah melancarkan tabung kutipan dan berjaya mengumpul RM1 juta hasil sumbangan orang ramai.
“Masjid ini kos pembinaannya adalah RM7 juta..kerajaan persekutuan memberi dana sebanyak RM4 juta, manakala pihak kariah RM1 juta dan kerajaan negeri RM2 juta.
“Dengan adanya masjid ini yang kita jangka akan siap dalam tempoh 20 bulan, kami harap akan dapat solat tarawih pertama di masjid ini kelak pada Ramadan 2025 nanti,” katanya.
Bagi seorang penduduk di Kepala Batas, Mahmud Zuhdi Ariffin pula merasa dihargai dengan tiga projek besar yang dirasmikan pecah tanah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Saya sendiri masih menyewa dan belum ada rezeki memiliki rumah sendiri.
“Saya rasa memang sangat perlu Projek PPR di kawasan ini kerana kos sewa juga agak tinggi dan saya harap berpeluang dapat rumah berkenaan,” katanya. – Malaysiapost