PN calonkan Shahidan di Arau
PERIKATAN Nasional (PN) akan menampilkan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim daripada Barisan Nasional (BN) sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Mohd Shukri berkata, nama calon kerusi Parlimen Arau itu dikosongkan pada saat akhir kerana rundingan di peringkat Pusat dengan Shahidan masih belum dimuktamadkan lagi.
“Ya, betul ada rundingan dengan beliau (Shahidan). Semua bermula apabila kami berjumpa secara tidak sengaja di lapangan terbang pada Isnin lepas.
“Di peringkat negeri, kami belum tahu lagi keputusannya kerana perbincangan masih berjalan di ibu pejabat. Saya masih menunggu keputusan ibu pejabat,” katanya.
Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat bagi bertanding di kerusi Parlimen Arau pada PRU15.
“Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik PAS. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.
“Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab beliau adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU15,” katanya.
Menurut Mohd Shukri, beliau percaya bahawa penyokong PAS di peringkat akar umbi akan merestui keputusan ini kerana mereka ahli yang taat kepada parti.
Sebelum ini, Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman. – Malaysiapost