Presiden Gerakan tak tersenarai, PN gugur seorang menteri, dua timbalan

Presiden Gerakan tak tersenarai, PN gugur seorang menteri, dua timbalan

PRESIDEN Gerakan, Dominic Lau, seorang menteri dan tiga timbalan menteri tidak diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Pada majlis pengumuman calon PN di Kuala Lumpur, malam tadi, Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menamakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Latiff Ahmad bertanding di mana-mana kerusi Parlimen. 

Abdul Latiff, penyandang kerusi Parlimen Mersing semalam mengumumkan bersara daripada arena politik. 

PN turut menggugurkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahbudin Yahaya yang juga penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan mempertaruhkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertanding di kerusi berkenaan. 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Noor Azmi Ghazali juga digugurkan sekali gus tidak mempertahankan Parlimen Bagan Serai yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

PN juga mempertaruhkan kredibiliti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang juga Naib Presiden PAS bertanding di Parlimen Bagan Serai. 

Nama Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut tidak disebut Muhyiddin sebagai calon PN malam tadi. 

Namun difahamkan, beliau akan diumumkan sebagai calon PN di Parlimen Machang. 

Muhyiddin tidak mengumumkan calon-calon PN yang bakal bertanding di Parlimen Kelantan dan Terengganu yang menurutnya akan diumumkan PAS dalam masa terdekat. 

Sementara itu, PN mengesahkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertanding di Gombak sekali gus bakal berdepan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon Pakatan Harapan (PH). 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mempertahankan Parlimen Larut, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman pula bertanding di Nibong Tebal, manakala Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Tambun, Perak.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu akan mempertahankan Parlimen Masjid Tanah dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Parlimen Indera Mahkota. – Malaysiapost

.

Foto: Facebook Faizal Azumu

Komen