PRU15: Parlimen Batu kekal milik MCA

PRU15: Parlimen Batu kekal milik MCA

MCA akan bertanding kerusi Parlimen Batu, bukan MIC seperti diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata keputusan itu telah dipersetujui dan disahkan oleh pucuk pimpinan BN.

Beliau berkata, MCA akan meletakkan Pengerusi MCA Wilayah, Datuk Seri Yew Teong Look di kerusi itu bagi menggantikan calon MIC, Datuk Kohilan Pillay.

“Mengikut persetujuan, MCA menyerahkan Padang Serai kepada MIC dan kerusi Batu kekal milik kami.

“Saya menjelaskan situasi ini bagi menjernihkan kekeliruan yang berlaku. Teong Look adalah anak jati Parlimen Batu,” katanya hari ini.

Kerusi Batu disandang wakil PKR, M Karupaiya yang menewaskan calon BN, Datuk Dr Leong Yong Kong dan PAS, Muhamad Sobri Osman dengan majoriti 8,813 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka apabila pucuk pimpinan BN meletakkan wakil Umno, Mohd Shafei Abdullah sebagai calon kerusi Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini diwakili MCA.

“Pertukaran itu bukan satu isu. Kami mengikut apa yang telah dibincangkan. Kami terima keputusan ini atas prinsip persahabatan.

“Kami juga sudah menandatangani akujanji untuk terus berusaha dan bertungkus-lumus demi mencapai kemenangan dalam PRU15,” katanya. – Malaysiapost

Komen