PRU15: Shahidan tetap mahu bertanding

PRU15: Shahidan tetap mahu bertanding

DATUK Seri Shahidan Kassim yang digugurkan namanya daripada pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap mahu bertanding walaupun perlu menggunakan tiket parti lain.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Arau itu masih belum memutuskan parti mana yang akan ditandinginya pada pilihan raya kali ini.

Shahidan membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen tersebut dan menolak semua ‘calon boleh menang’ dicadangkannya.

“Saya akan bertanding kerana disebabkan faktor ‘calon boleh menang’ maka disebabkan itulah saya akan terus bertanding.

“Tiket apa itu nombor dua. Saya akan tanya cawangan tetapi mereka lebih pilih parti yang bergerak ke arah Muafakat Nasional bersama PAS dan Bersatu,” katanya.

Ditanya sama ada tidak takut dikenakan tindakan, Shahidan yang juga Ketua Umno Bahagian Arau berkata beliau menjangkakannya, namun menegaskan tidak akan keluar parti.

“Selepas ini tentu dia (Zahid) akan pecat saya. Apa pun saya tak akan keluar parti tetapi akan meneruskan bertanding atas dasar tiket ‘calon boleh menang’ seperti dikehendaki parti,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mengkritik kepimpinan Presiden parti yang disifatkan sebagai pembohong kerana gagal menunaikan janji.

“Pada pandangan saya, Presiden telah berbohong. Kata mahu pertimbangkan calon boleh menang, tetapi nampaknya semua ditukar. Beliau mungkir janji dan pecah amanah,” dakwanya.

Sehubungan itu, Shahidan mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden dan digantikan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Zahid patut berhenti, nak selamatkan negara dan selamatkan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Parlimen Arau bakal ditandingi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis dan bekas Ketua Pemuda Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman atau dikenali sebagai ‘Tok Ben’. – Malaysiapost

Komen