Reezal Merican cemerlang sebagai Ahli Parlimen dan menteri – PM
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pengundi di Kepala Batas memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen berkenaan, supaya segala perancangan demi kepentingan rakyat dapat diteruskan.
Menurutnya, penyandang Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang diumumkan akan mempertahankan kerusi sama sudah menunjukkan prestasi cemerlang setakat ini.
“Reezal bukan sahaja cemerlang sebagai Ahli Parlimen, tetapi juga sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Baru setahun lebih Reezal memegang jawatan menteri KPKT pelbagai program untuk kepentingan rakyat dilaksanakan dan beberapa kali saya dijemput untuk melancarkan program itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Msjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC), di Kepala Batas, hari ini
Ismail Sabri berkata, pelbagai dasar untuk kepentingan rakyat dirangka oleh Ahli Parlimen Kepala Batas itu yang sudah dibentangkan dan diluluskan.
“Jadi tuan-tuan dan puan-puan kalau dah cemerlang, kita pastikan dia kekal sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas ini.
“Oleh kerana prestasi Reezal cemerlang saya beri jaminan kepada tuan-tuan dan puan-puan..kalau saya menjadi Perdana Menteri semula saya beri janji saya akan angkat Reezal sebagai menteri selepas 19 November ini. Setuju? soalnya yang disambut dengan sorakan pengunjung yang hadir.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno turut yakin, Reezal Merican akan sekali lagi dinobatlan sebagai Ahli Parlimen selepas 19 November ini atas sokongan masyarakat Kepala Batas.
Sementara itu, Reezal Merican dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sanggup hadir ke Kepala Batas bersama bukan satu ‘buah tangan’ tetapi tiga projek untuk rakyat di kawasan berkenaan iaitu PPR Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan KBYC.
Menurutnya, walaupun sibuk namun Ismail Sabri sudi hadir kerana rakyat Kepala Batas dan juga bekas Ahli Parlimen kawasan itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, Ismail Sabri memberitahunya, bekas Perdana Menteri itulah yang memilih beliau untuk pertama kali bertanding di Parlimen Bera, sebelum melantiknya menjadi menteri juga pertama kali pada 2008.
“Perdana Menteri beritahu, adalah amat wajar untuk beliau hadir ke Kepala Batas untuk melunaskan rasa terhutang budi kepada Tun Abdullah,” katanya.
Reezal Merican turut menyeru masyarakat di Kepala Batas untuk memastikan BN mendapat mandat pada PRU-15 ini, sekaligus mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost