Saya datang ke Sungai Buloh bukan untuk kalah – KJ
Najamuddin Mohd Nor
KESUDIAN Khairy Jamaluddin menyahut cabaran bertanding di Parlimen Sungai Buloh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini bukan untuk pengakhiran kerjaya politiknya.
Sebaliknya, beliau menegaskan, kehadirannya ke Parlimen Sungai Buloh adalah untuk menamatkan rentetan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada tiga pilihan raya umum sejak 2008.
Menteri Kesihatan itu mengakui berdepan misi mustahil menawan kerusi itu pada PRU15 namun bertekad memastikan Sungai Buloh menjadi penyumbang kerusi untuk pembentukan kerajaan BN pada 19 November ini.
“Saya datang ke sini, saya tidak mahu menghampakan harapan tuan-tuan dan puan-puan. InsyaAllah ‘we will do the impossible’. Saya datang ke Sungai Buloh bukan untuk kalah.
“Kali ni kita mesti menang. Kali ni saya datang dengan harapan walaupun sebagai ‘underdog’,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN Sungai Buloh di Kota Damansara, hari ini.
Parlimen Sungai Buloh telah disandang pemimpin PKR Sivarasa Rasiah sejak 2008.
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi, mengalahkan calon BN dan PAS, namun namamya tidak dicalonkan bertanding pada PRU15 ini.
Pada masa sama, Khairy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar, Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran yang telah membuka laluan untuk beliau bertanding di Sungai Buloh.
“Bukan senang saya nak bertanding. Kena jumpa Noh Omar, Vicky (Vigneswaran) dan Zahid (presiden Umno),” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, sudah tiba masanya pemimpin BN tampil berani untuk menggempur kubu pembangkang di kawasan bandar.
Katanya, Umno dan BN perlu berani untuk menawarkan khidmat kepada penduduk di kawasan bandar sekali gus melenyapkan stigma parti untukmasyarakat luar bandar.
“Takkan kita nak menyerah diri di semua kerusi bandar. Saya datang sebab saya nak menang di kerusi bandar,” tegasnya.
Khairy juga menzahirkan kesyukuran kerana beliau bertuah kerana jentera BN Sungai Buloh dapat menerima kehadirannya dengan senang hati.
“Saya rasa bersyukur dan bertuah apabila saya disokong jentera BN sepenuhnya dan tidak seperti yang terjadi, yang viral di tempat lain apabila diumumkan calon luar di tempat mereka,” katanya.
Khairy sebelum ini merupakan penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak tahun 2008 namun tidak mempertahankannya pada PRU15 ini kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan. -Malaysiapost