‘Terima kasih Presiden hancurkan perpaduan Umno Pasir Salak’ – dakwa Faizal Tajuddin
PENGGUGURAN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pasir Salak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakwa mengundang perpecahan Umno bahagian itu.
Naib Ketuanya, Dr Faizal Tajuddin berkata, tindakan berkenaan tidak selari dengan keputusan Bahagian Umno Pasir Salak yang menamakan Tajuddin yang juga bapanya sebagai calon Parlimen itu.
“Dengan pengumuman itu (gugurkan Tajuddin), apa yang berlaku perpecahan dalam sekelip mata Umno Bahagian Pasir.
“Jadi adakah top 5 dan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) faham senario ini boleh berlaku,” katanya pada sidang media seperti dipetik Malaysiakini.
Pada majlis itu, beberapa ahli Umno Bahagian Pasir Salak turut mengangkat sepanduk bertulis “Terima kasih Presiden kerana hancur perpaduan Umno Pasir Salak”.
Mengulas lanjut, Dr Faizal berkata, Tajuddin merupakan satu-satunya calon yang dicadangkan mewakili Pasir Salak, manakala Khairul Azwan Harun bagi kerusi Parlimen Sungai Manik.
Beliau juga telah menggerakkan petisyen sokongan kepada Tajuddin dengan mengumpulkan lebih 3,000 tandatangan daripada akar umbi Umno Bahagian Pasir Salak hanya dalam tempoh 24 jam.
“Petisyen ini kita telah sampaikan kepada beliau (Zahid), kita kumpulkan tandatangan ini dalam tempoh 24 jam sahaja, tapi masih lagi nama Tajuddin ditolak calon Parlimen Pair Salak.
“Kami tidak dapat menggambarkan betapa kecewanya. Ia masih belum dapat dilihat sama ada pertukaran pencalonan akan memberi kesan besar kepada Pasir Salak.
“Kita akan lihat sama ada keputusan itu baik atau merugikan parti,” katanya.
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana membuat kritikan secara terbuka terhadap Zahid, dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut digantung keahlian selama enam tahun atau dua penggal.
Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada September lalu. – Malaysiapost