791,477 murid terima manfaat kadar baharu RMT – Radzi

791,477 murid terima manfaat kadar baharu RMT – Radzi

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah di seluruh Malaysia berkuat kuasa 6 November ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung, manakala RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Alhamdulillah, usaha KPM untuk menaikkan kadar RMT dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini. 

Radzi berkata, usaha tersebut merupakan antara komitmen beliau dalam memastikan kualiti makanan RMT kepada murid yang memerlukan adalah terjaga.

Ujarnya lagi, pelaksanaan kadar baharu tersebut juga pastinya memberi kelegaan kepada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan RMT.

“KPM komited melakukan yang terbaik untuk kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen