Akujanji palsu sokong Zahid jadi PM, usaha terdesak paling hina – Ahmad Maslan

Akujanji palsu sokong Zahid jadi PM, usaha terdesak paling hina – Ahmad Maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan pihak yang menyebarkan dokumen akujanji palsu yang kononnya perlu ditandatangani calon Umno dan BN yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebagai perbuatan terdesak paling hina.

Beliau berkata, dokumen akujanji palsu yang tular itu juga didakwa sebagai usaha fitnah yang gagal, serta yakin ia tidak memberi kesan terhadap BN dan Umno.

“Akujanji palsu disebar. Terdesak mereka ini ketahap yang hina. Usaha fitnah yang gagal.

“Umno dan BN tidak akan tewas dengan fitnah seperti ini lagi kerana kami sudah tahu taktik kotor pihak mereka,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Justeru, Ahmad menasihati pengundi supaya tidak terpedaya dengan fitnah berkenaan sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Jangan terpedaya kali ini sepertu PRU14. Cukuplah sekali ditipu. Ya jangan ditipu kali kedua,” katanya.

Semalam tular sebuah dokumen mengandungi senarai akujanji bertarikh 30 Oktober 2022, yang ditandatangani Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, yang dicalonkan bagi kerusi BN di Parlimen Lenggong.

Dokumen dengan kepala surat Umno itu, turut memaparkan tandatangan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad selaku Setiausaha Agung parti.

Akujanji itu antara lain menyatakan ikrar calon Umno dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Ia turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika Umno dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

Susulan itu, Shamsul Anuar menegaskan penyebaran dokumen palsu itu adalah usaha jahat pihak tidak bertanggungjawab dan jelas sebagai perancangan memburukkan Umno dan BN ketika musim PRU. – Malaysiapost

Komen