Anggap macam judi, Suhaimi Saad tak mahu mengundi
PENYANYI nasyid, Suhaimi Saad tetap dengan pendirian untuk tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menerusi hantaran video di TikToknya, bekas anggota kumpulan In-Team itu menyatakan tidak bersetuju dengan pemilihan pemimpin yang dibuat berdasarkan proses pengundian.
Menurut Suhaimi, perbuatan mengundi pada PRU15 menjadi sebahagian daripada menyokong kegiatan judi kerana seseorang calon akan mengeluarkan wang pertaruhan.
“Orang yang jadi calon akan keluarkan wang pertaruhan. Kalau kalah, hangus duit itu. Itu adalah judi.
“Tidak kira parti apa sekali pun, kalau pemimpin sudah berjudi takkan nak angkat sebagai wakil rakyat atau pemimpin,” katanya menerusi video itu.
Bagaimanapun, pelantun lagu ‘Kadang Kadang Rindu Kadang Kadang Lupa’ itu tidak melarang masyarakat untuk keluar mengundi.
Dia percaya setiap orang memiliki kefahaman agama yang berbeza terutamanya dirinya.
“Nak mengundi silakan, tetapi esok jawab sendiri dengan Allah. Allah sendiri suruh bersatu padu dan jangan pecah belah,” katanya.
Sebelum ini, Suhaimi pernah terpalit dengan kontroversi apabila dia menolak sekeras-kerasnya pengambilan vaksin Covid-19 tahun lalu.
Malah, Suhaimi juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mencabar angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersumpah bahawa bumi adalah berbentuk sfera. – Malaysiapost