Dakwaan projek LCS : Pegawai SPRM jumpa Raja Petra minggu depan

Dakwaan projek LCS : Pegawai SPRM jumpa Raja Petra minggu depan

PEGAWAI penyiasat rasuah akan bertemu penulis blog Raja Petra Kamarudin minggu depan berhubung dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pegawainya memerlukan sedikit masa untuk bersedia bertemu penulis blog itu kerana ia perlu diadakan di luar negara.

“Kita tetapkan masa, tarikh dan tempat dan perkara itu sedang dibincangkan untuk kita ambil kenyataan daripada beliau.

“Saya percaya minggu depan, pegawai saya boleh bertemu Raja Petra,” katanya memetik The Star.

Ditanya mengapa pertemuan itu perlu diadakan di luar negara, Azam menegaskan ini kerana penulis blog itu tidak dapat pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Raja Petra dilaporkan mendakwa mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menerima sogokan berjumlah jutaan ringgit berkaitan projek LCS.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid menerima wang itu dalam lapan pembayaran berperingkat antara 2012 dan 2013.

Selan itu, beliau juga mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Ahmad Zahid dengan skandal tersebut.

Penulis blog tersebut telah membuat dakwaan itu dalam video yang disiarkan di laman webnya pada Selasa lalu. – Malaysiapost

Komen