Dr Dzulkefly kekal bertanding di Kuala Selangor kerana Tengku Zafrul
DATUK Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan beliau mengambil keputusan kekal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor kerana Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Menteri Kesihatan terbabit berkata, beliau sebelum ini memang berhasrat untuk berundur dan memberi laluan kepada calon muda atau muka baharu, namun akur menggalas amanah Pakatan Harapan (PH) untuk bersaing mempertahankan kerusi yang disandangnya itu.
“Saya akan bertanding mempertahankan kerusi P096 Kuala Selangor selepas Umno dan BN nekad menurunkan Tengku Zafrul. Oleh kerana pencabar adalah seorang menteri, maka mantan menteri ini turun bertarung.
“Saya kira wajar untuk saya mentaati pimpinan parti dan syor daripada pengundi-pengundi saya yang memohon supaya saya terus mempertahankan kerusi ini.
“Justeru, saya sangat teruja. Mereka mahukan lagi khidmat saya sejak 2008 hingga kini. Ini adalah kelebihan yang tiada pada Tengku Zafrul,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengenalan Calon Parlimen PH Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, malam tadi.
Sebelum ini, Pengarah Strategi Amanah itu dilapor menyatakan hasrat untuk mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu atau muda untuk bertanding pada PRU15.
Untuk rekod, beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU12, namun tewas kepada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim daripada BN pada PRU13 sebelum merampasnya kembali pada PRU14.
Ketika ditanya mengenai kemampuannya untuk mengekalkan kemenangan dicatat pada PRU14 , beliau yakin dengan kajian yang memberi petunjuk positif.
“Soalan itu masih menjadi teka-teki, namun kami sudah membuat penyelidikan yang memberi petunjuk positif. Persoalan besar adalah Undi18, inilah yang menjadi penentu kerana pertambahannya lebih 33,000.
“Perkara ini perlu diberikan perhatian, sementara pengundi asas saya pula masih terus memberi sokongan padu, malah mereka tidak terkesan dengan Tengku Zafrul.
“InsyaAllah, kita ada keyakinan. Kami yakin akan terus mengekalkan kerusi ini dengan izin Allah SWT dan sokongan rakyat,” katanya. – Malaysiapost