‘Gugur kes mahkamah, mereka fikir BN macam mereka?’ –  soal Zahid 

‘Gugur kes mahkamah, mereka fikir BN macam mereka?’ –  soal Zahid 

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa penyebaran dokumen akujanji palsu yang kononnya perlu ditandatangani oleh calon Barisan Nasional (BN) membuktikan musuh gabungan itu takut dengan ‘bayang-bayang sendiri’. 

Pengerusi BN itu, berkata fitnah terbaharu musuh BN itu menjadi sebab kukuh untuk rakyat menolak mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“BN berusaha mengajak rakyat untuk bersama memulihkan negara pada PRU15, lawan BN tidak habis-habis menabur fitnah dan tipu daya sebagai bahan ‘kempen’.

“Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka.

“Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan `membelai’ yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, beliau percaya musuh BN kini sedang ketakutan selain `overthinking’ dan bimbang sekiranya semua perkara yang mereka lakukan akan berbalik semula kepada mereka. 

Katanya, politik menipu dan merapu seperti itu perlu dihentikan kerana rakyat kini tidak lagi mudah terpedaya dengan taktik berkenaan.

“Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka `membaca’ pembohongan itu.

“Jangan benarkan Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan kerana hampir pasti rakyat juga akan sekali lagi difitnah dan dibohongi,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru rakyat meyakini BN dan mengundi gabungan itu demi sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat serta membawa kestabilan dan kemakmuran negara.

Semalam, Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menafikan wujudnya dokumen akujanji yang didakwa perlu ditandatangani calon Umno dan BN yang bertanding pada PRU15.

Shamsul Anuar menegaskan, penyebaran dokumen palsu itu adalah usaha jahat pihak tidak bertanggungjawab dan jelas sebagai perancangan memburukkan Umno dan BN ketika musim PRU. – Malaysiapost

Komen